November 15, 2024

Perjuangan

Assalamualaikum

Petang ini, hujan. Lebat! Melihatkan cuaca yang sejuk diluar, sambil menung-menung, terkenang lah pula saya tentang perjalanan kerjaya saya di sini. Sunyi betul petang ini! Banyak yang dah berubah. Saya akui saya ada rasa sedikit rindu suasana masa dahulu. Meriah, penuh gelak tawa, gurauan dan suara bergaduh sesama sendiri haha. Kini saya hanya bertemankan meja dan kerusi kosong. Ermm...sayunya. Mungkin ini memberi saya sedikit emosi, untuk saya menulis, konon! 😄

Flash back...Tahun 2006, kali pertama menjejak kaki di sini (KC) saya seorang sahaja pekerja. Hari pertama bekerja, kepala saya dah berdenyut. Tak tahu nak mula dari mana. Saya belek-belek segala fail yang ada dan mengenal pasti kerja apa yang saya nak buat. Keliru juga saya. Ayat bos di hari pertama di sini, you tengok-tengok la dan buat apa-apa yang patut. Alamak! Masa tu saya tak nampak pon apa-apa projek apa yang sedang dijalankan. Bos-bos pon nampak macam tenang-tenang saje. Saya pulak pertama kali keja dibidang komersial. Akhirnya selepas sebulan, perlahan-lahan saya mula menyesuaikan diri. Ya, memang saya banyak plan keja sendiri ikut kesesuaian jawatan saya. Rakan sekerja pertama saya lepas dua bulan adalah Mai, QS yang bos pinjam dari BR, company kawan dia. Kemudian masuk pula Shuib dan intern politech Wani. 

Selang beberapa tahun kami pindah ke ofis yang lebih besar sesuai untuk menampung sebilangan staff baru yang masuk, terutamanya staff teknikal. Projek pertama saya adalah projek Pengkalan Polis Marin, Tanjung Pelepas. Projek ini juga lah yang memperkenalkan saya dengan dunia construction, ytjt haha. Selepas tu, alhamdulillah projek company kian bertambah dari tahun ke tahun. Pekerja pun silih berganti. Mana yang selesa akan kekal lama, yang dapat peluang lebih baik, pergi. Tak terlayan saya dengan kerenah mereka. Bermula daripada kerja-kerja admin dan akaun kemudian bertambah ke HR pula. Berbekalkan sedikit pengalaman di bidang kesetiausahaan syarikat, auditing dan percukaian banyak juga la percambahan kerja saya di sini. Terpaling gila kuasa, semua saya cuba dan ada yang terpaksa buat haha.


Orang kata langit tidak selalu cerah. Penghujung tahun tahun 2018, titik paling rendah KCSB pernah berada. Pekerja berhenti seorang demi seorang, projek tiada, legal kes bermula, arwah dato meninggal dan ada la lagi beberapa isu yang timbul maka nama KC semakin pudar di dunia construction. Sijil-sijil syarikat seperti CIDB dan PKK masih kekal hingga kini, cuma tiada apa-apa projek, keadaan kewangan juga tak berapa baik jadinya agak susah untuk kami menyertai mana-mana tender. Sebelum ni sekitar 2014, KC pernah juga jatuh tapi berkat usaha tanpa putus asa dari bos, kami kembali bangkit. Namun kejatuhan kali kedua ini memberi kesan yang lebih besar. Maka yang bertahan adalah saya dan seorang lagi staff teknikal, Aishah. Kami sama-sama mengharungi detik-detik kejatuhan ini. Beliau juga akhirnya telah berhenti beberapa bulan yang lalu. Walaupun kami sama-sama janji nak terus di sini sehingga KC pulih paling tidak hingga penghujung tahun 2024. Tapi apakan daya, perjalanan hidup kami tak sama. Kini tinggal la saya sendiri, terasa macam saya seawal 2006 dulu, cuma versi tua 😃

Saya tahu ada je ex-staff KC yang tertanya-tanya macam mana saya dan Aishah bertahan. Kami seolah-olah tak terkesan dengan keadaan company. Hurm..Entahlah! Apa yang pasti kami dah seperti sebuah keluarga. Kami sedaya upaya cuba membantu apa jua usaha bos untuk kembali bangkit dan usaha kami itu tidak hanya tertumpu kepada bidang construction semata-mata. Cuma itu la, belum lagi membuahkan hasil. Sementara ini biarlah saya selesaikan saki-baki tugasan saya disini. Sebelum saya benar-benar pencen hihi. Apa yang boleh saya rumuskan selama 18 tahun di KC, terlalu banyak pengalaman yang saya dapat. Dari sekecil-kecil ilmu yang saya timba dari bos-bos, saya amat menghargainya. Terima kasih kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada saya. Andai jodoh saya dengan KC tak panjang, lebih awal dari perancangan, saya doakan KC terus maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Insyaallah! Panjang pulak posting ni, terima kasih yang sudi membaca 😊

October 31, 2024

September yang Manis

Assalamualaikum

Dah kenapa nak cerita September pulak ye, ini pun dah pengakhiran Oktober 😁. Bukan apa, pada yang sedia maklum September adalah bulan yang agak istimewa pada saya pasalnya ia adalah bulan kelahiran sendiri. Tentulah ada sedikit keterujaannya setiap kali September menjelang. Pertama-pertamanya, saya panjatkan rasa kesyukuran atas nikmat yang telah Allah SWT berikan sehingga saya mencapai usia ini. Alhamdulillah di kala ini diberi tahap kesihatan yang boleh dikirakan baik, semoga teruslah kesihatannya begini hendaknya dan juga dipanjangkan usia. Insyaallah. Aminn.

Memang tiada perancangan awalnya untuk pulang ke kampung pada cuti panjang tu tapi pagi-pagi sabtu tu mak call tanya free ke, boleh balik kampung? Dah sememangnya kita takde apa-apa, takkan nak kata tak boleh pula. Katanya abah nak belanja makan, bukan la khusus belanja untuk hari lahir saya, cuma makan-makan keluarga. Kebetulannya abah dapat rezeki lebih dan tak disangka-sangka pula, itu yang berhajat benau nak belanja anak-anak. Nak balik ari sabtu petang mulanya tapi tak sempat. Aisyah terlibat dalam Keretapi sarong under kelab kebudayaan Uitm, kakak Alya pulak keluar dengan kawan-kawan sekolah. Semuanya dah dirancang lama, takkan nak batalkan. Makanya hari ahad la baru balik kampung. Alhamdulillah malam tu dapat lah kami makan sedap-sedap abah belanja dan dapat surprise sekali hahaha. Tak penah lagi tetibe diberi kejutan nyanyian lagu besday di kedai, aduii malu nau acik nakk hahaha. Adik bongsu tak dapat nak join pasal adik ipau kesihatan tak mengizinkan. Insyaallah tahun depan bertambah sorang lagi waris Hj Mohamad. Setelah 7 tahun menanti, Allah kurniakan rezeki buat mereka. Semoga dipermudah segala urusan Ayie dan Ira. Aminn.

September tahun lepas, kami hantar Aisyah ke Uitm Dungun. Masa ni kakak tak dapat ikut sama sebab dia tengah menjalani latihan industri, tak boleh cuti. Tiga hari juga la dia bersendirian di rumah sementara kami menghantar Aisyah. First time anak duk jauh sangat. Selama ini, masa sekolah menengah dia tinggal di asrama juga tapi dekat je dengan rumah. Tiap-tiap minggu boleh melawat. Kali ni berbeza, sayu juga saya nak melepaskan beliau. Tak sangka dapat sejauh ini 😅. Apa pun setelah setahun, alhamdulillah Aisyah dapat menyesuaikan diri dan mula biasa tak dapat nak balik selalu. Balik masa cuti semester saje. Satu kelebihannya biras saya orang dungun, so bila dia balik sana ada juga la dia jengah or ambil Aisyah di kolej bawak ke rumah kakak dia. Alhamdulillah, mekasih maksu!

Tahun ini, masih di bulan September, kami sekeluarga ke selatan pula hantar kakak Alya. Dia dapat sambung degree di Uitm Segamat. Daerah kelahiran papanya. Dia berangan nak dapat Uitm Puncak Alam. Nak selalu balik la tu hihi. Bukan apa, kakak ni dia tiada pengalaman duk asing dari family macam Aisyah. Itu yang sayu juga mama nak tinggalkan dia kat sana. Walaupun dia nampak macam ok  tapi masa nak kena tinggal berjuraian juga air matanya hahaha. Bertabahlah kakak. Bila lagi nak merasai pengalaman begini. Alhamdulillah yang ini pun dekat juga dengan maksu beliau hahaha. Biras saya nurse di Hospital Segamat dan duk di kampung rumah arwah mertua. Ada juga la sedara yang boleh bantu-bantu sekiranya perlu. Sejak mertua dah tiada ni, jarang sangat kami balik kampung. Mungkin ini la hikmahnya pada kami. 

Maka, semakin sunyi la rumah kami kini. Tinggal yang kecik 2 orang masih bersekolah dan abang Hadif. Semoga anak-anak mama sentiasa dalam rahmat dan dilindungi Allah SWT walau dimana jua berada. Hati ibu mana yang senang bila anak-anak duk berjauhan kan. Tapi itu la proses yang kita kena terima. Kita dulu pon begitu. Semoga mereka berjaya dan dipermudah segala urusan dalam mencapai cita-cita mereka. Insyaallah, Aminn. 

Sekian dulu. Nak masak kari sempena deepavali ni hahaha. Baiii😊

September 10, 2024

MJ Legacy's Family Day 1.0

 Assalamualaikum

Penutup bulan Ogos yang lalu, setelah beberapa kali bertukar tarikh, berjaya juga kami berkumpul adik beradik, ipau duai, anak-buah dan cucu. Ye, acik dah ada dua orang cucu hihi. Walau pun serba ringkas, yang penting masa bersama. Semenjak ketiadaan kedua ibu dan bapa mertua, jarang sekali kami berkumpul. Raya pun bersepah-sepah dah semua. Bersepah balik ke kampung lain-lain maksudnya tu hihi. Main-main sukaneka, makan-makan, borak-borak sambil ketawa, riuh rendah dibuatnya! Semoga ukhwah kami kekal selama-lamanya. Insyaallah ada rezeki kita berkumpul lagi. 

July 8, 2024

Maal Hijrah

Assalamualaikum

Selamat Tahun Baru Hijrah 1446/2024

Semoga tahun ini dapat menyinari hidup kita, dengan memperbaiki diri, meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita dan memberi keberkatan usia, kesihatan dan rezeki.

Jadikan tahun baru ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

- 3 Muharram 1446 -