Image result for Autistik penyakit genetik

Harian Metro
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

RAMAI kagum melihat keunikan dan sentuhan kreatif lukisan dalam kalendar Korporat Shell 2007 yang dilancarkan baru-baru ini. Jika tidak ditulis nama di bawah setiap karya, pasti ramai menyangka ia hasil kerja pelukis profesional.

Siapa sangka enam lukisan yang diabadikan dalam kalendar syarikat minyak gergasi itu dihasilkan kanak-kanak autistik, Yeak Ping Lian, 13.

Walaupun menghidap Sindrom Savant iaitu sejenis penyakit genetik yang sangat jarang berlaku (dan tiada penawarnya) bakat seninya menyerlah.

Semua karyanya dihasilkan secara spontan dan mempunyai nilai artistik, walaupun tidak pernah mendapat pendidikan khusus dalam seni lukis.

Inilah rahmat Allah. Sesungguhnya Allah amat pemurah dan penyayang. Kekurangan satu sifat akan diganti dengan kelebihan pada sifat lain sehingga menimbulkan keunikan kepada seseorang individu itu. Namun, ramai antara kita kadangkala tidak dapat melihat rahmat terselindung di sebalik kekurangan yang ada pada diri.

Keadaan ini menyebabkan sesetengah ibu bapa kecewa dan putus asa apabila mendapat anak autistik. Malah, ada yang sanggup mengetepi atau membiarkan anak autistik dan hanya memberi perhatian kepada anak normal.

Sikap ibu bapa yang kurang memahami masalah dan keperluan anak autistik sebenarnya boleh menggelapkan masa depan golongan istimewa ini. Kanak-kanak autistik sebenarnya mempunyai masa depan yang sama cerah dengan kanak-kanak normal jika diberikan peluang dan menjalani terapi khusus.

Autistik ialah gangguan perkembangan pertumbuhan. Autistik ialah penyakit genetik dan ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu klasik dan varian (gangguan spektrum yang merangkumi banyak jenis masalah genetik yang jarang dijumpai).

Perunding Paediatrik Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Syed Nazir Syed Kadir, berkata autistik boleh dianggap masalah biasa, dengan nisbah tiga hingga enam kes bagi 1,000 kanak-kanak dan ia lebih kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki. Kajian menunjukkan kanak-kanak lelaki mempunyai peluang empat kali ganda mengalami autistik berbanding perempuan. Jika ia berlaku pada kanak-kanak perempuan, biasanya kesnya lebih serius.

Autistik ialah masalah keturunan dan gangguan yang sangat kompleks. Jika seorang anak menghidap autistik, anak lain mempunyai risiko enam kali ganda untuk mendapat masalah sama. Malangnya, ramai ibu bapa tidak menyedari anak mengalami autistik yang menyebabkan perkembangan anak menjadi sangat perlahan.

“Masalah ini boleh dilihat ketika bayi lagi. Ibu bapa perlu memantau perkembangan anak mengikut umur mereka. Jika tidak pasti, ibu bapa boleh merujuk kepada carta perkembangan anak yang boleh diperoleh dari mana-mana klinik atau hospital,” katanya.

“Ramai ibu bapa tidak sedar anak mereka ada masalah autistik. Lebih menyedihkan, ada ibu bapa mengambil sikap ‘tidak apa’ dan menganggap ia perkara biasa. Ada juga kanak-kanak autistik menunjukkan perkembangan normal pada peringkat awal dan kemudian ‘hidup’ dalam dunia sendiri.

“Kanak-kanak autistik tiada kemahiran empati iaitu mereka tidak dapat membezakan sama ada orang lain marah atau gembira. Selain tidak suka melihat muka atau mata orang yang berinteraksi dengannya, kanak-kanak autistik kerap melakukan perlakuan yang membahayakan diri seperti menggigit atau menghantukkan kepala,” katanya.

Lebih membimbangkan, ramai individu autistik mempunyai ketahanan terhadap kesakitan. Keadaan ini menyebabkan ada pesakit yang dihantar ke kelas khas Nasom dipakaikan topi keledar kerana mempunyai tabiat suka menghantukkan kepala ke dinding berkali-kali.

Ada juga yang tidak menangis walaupun jatuh hingga berdarah, sebaliknya menjadi sangat sensitif terhadap rangsangan lain seperti bunyi tertentu, rasa atau sentuhan. Malah, jika bercakap pesakit akan membahasakan diri dengan nama mereka dan bukan saya atau aku.

Kata Dr Syed Nazir, individu autistik juga berisiko tinggi mengalami keadaan dipanggil sindrom x lemah yang menyebabkan masalah terencat akal, ketumbuhan dalam otak (tuber sklerosis), sawan, sukar belajar dan lemah daya tumpuan.

Dianggarkan 20 hingga 30 peratus pesakit autistik mendapat sawan (epilepsi) apabila meningkat dewasa atau berumur 20 tahun. Pada masa sama mereka cenderung mengalami gejala skizofrenia, halusinasi dan delusi, terutama apabila memasuki alam dewasa. Punca dan bagaimana keadaan ini boleh berlaku masih tidak diketahui.